
Ning Baizura sedia gegar peminat

SEBELUM ini, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura, dijadualkan bakal mengadakan konsert solonya, Konsert Pelangi Untukmu, pada 21 September lalu.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, konsert itu terpaksa ditunda ke tarikh lain iaitu pada 16 November depan.
Akibat penangguhan itu, ada desas-desus yang mengatakan konsert Ning gagal mendapat sambutan dan tiket tidak laku.
Menafikan perkara itu, pelantun lagu, Selagi Ada Cinta, ini menjelaskan penangguhan itu dibuat kerana dua daripada tiga lagu barunya gagal disiapkan pada tarikh berkenaan.
"Sebenarnya, konsert ini adalah bertujuan untuk memberi penghargaan kepada peminat. Jadi, saya rasa konsert itu kosong sekiranya tiada buah tangan terbaru untuk peminat yang selama ini banyak menyokong karier seni saya.
"Jadi, saya membuat keputusan untuk menunda konsert itu ke tarikh lain selepas lagu terbaru saya siap sepenuhnya kerana pada konsert itu, saya turut menayangkan muzik video (MTV) lagu baru.
"Pada malam konsert itu juga, saya turut memperkenalkan album kompilasi terbaru berjudul, Kekal Ning, yang memuatkan 10 hingga 12 lagu saya termasuk baharu dan lama," katanya ketika ditemui di konti Suria FM, ketika mempromosikan konsert tersebut menerusi segmen, Sepetang Bersama Linda Onn.
Memilih TM Convention Centre, sebagai lokasi konsert, tiga lagu baru yang bakal didendangkan secara eksklusif ketika konsert itu adalah, Pelangi Untukmu, Embunan Bersinar dan Bukan Wanita Sempurna.
Menariknya, lagu Bukan Wanita Sempurna adalah sentuhan komposer dari negara seberang, Ade Govinda.
0 komentar:
Posting Komentar